Mengadakan projek-projek mega yang hanya menguntungkan pihak tertentu dengan menelan belanja mencecah berbilion ringgit, sesetengahnya terbengkalai tanpa alasan yang boleh diterima, projek pula dimonopoli oleh kroni-kroni, ini termasuk program-program yang melibatkan penggunaan aliran eletrik yang banyak yang hanya dinikmati oleh golongan pemerintah, pada waktu yang sama menasihati rakyat supaya berjimat cermat kononnya untuk berhemah dalam pengurusan ekonomi, mereka ini boleh disifatkan sebagai golongan yang melakukan pembaziran dan pandai berkata-kata tetapi tidak melakukannya, kepada mereka Allah berfirman menerusi ayat 27 surah al-Isra� maksudnya : "Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya." Dan firman-Nya lagi dalam ayat 2 surah as-Sof, maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman! mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!" Islam dan keperluan pertambahan pengeluaran produk
Islam sentiasa menggalakkan penganutnya agar peka dalam menambahkan pengeluaran produk yang bermutu tinggi yang menjadi keperluan kepada orang ramai tanpa melakukan pembaziran lebih-lebih lagi boleh dijadikan pendapatan negara.
Produk yang perlu dihasilkan adalah berbentuk pengeluaran keutamaan seperti beras, gandum, bukannya dengan penanaman tembakau atau bahan-bahan yang yang tidak boleh dimanfaat oleh sebahagian besar rakyat sesebuah negara malah ia adalah produk yang membawa kepada bahaya.
Apa yang penting untuk penghasilan sesuatu produk itu benar-benar diberkati Allah, ialah dengan wujudnya aspek akhlak yang menjadi tunjang kepada ekonomi negara, iaitu akhlak yang menjadikan seseorang itu berdisplin dan beretika malah jauh dari sebarang tindakan negatif seperti yang dibahaskan di atas antaranya, menipu, terlibat dengan rasuah, judi, arak, pelacuran dan lain-lain.
Disiplin, tekun, bersungguh dan beretika dalam pekerjaan menjamin produktiviti yang disantuni Allah sebagai satu bahagian akhlak yang cukup memberangsangkan, sekali gus seseorang itu akan merasakan ketenangan dalam meningkatkan mutu hasil ekonomi yang terbaik buat negara dan masyarakatnya malah membantu mencapai tahap ekonomi yang baik.
Konsep Pembangunan Ekonomi
Menurut Dr Abdul Ghani 'Abod : Adams mendefinisikan Economic Growth sebagai :
"Perkembangan atau peralihan yang berterusan, merangkum pengagihan semula sumber-sumber kekayaan. Perkembangan dari sudut sejarahnya dari era pertanian kepada era industri dan dari tahap itu kepada era perkhidmatan." .
Namun menurut Dr Abdul Ghani definisi ini akan dilihat sebagai suatu definisi yang sempit kecuali pengertian proses peralihan tersebut difahami secara meluas; merangkum perubahan dalam setiap aspek kehidupan.
Sama ada pembangunan merangkum atau tidak aspek pertumbuhan namun umum berpendapat bahawa Economic Growth juga bermakna Economic Development secara lumrah. Kedua-duanya saling kait mengait dan diperlukan dalam negara membangun.
Sebenarnya konsep pembangunan ekonomi Islam bertolak dari pengembangan sumberdaya manusia (human capital) dan penguasaan teknologi sebagai penggerak utama (driving force) pembangunan ekonomi. Pengembangan sumber daya manusia merangkum seluruh potensi dan keberdayaan dan kualiti kemanusiaan dari sudut rohani dan moral. Pembangunan ekonomi merangkum pembangunan sistem kewangan dan dasar perniagaan global yang adil. Ia juga merangkum pemerataan kebebasan sosial, keadilan ekonomi, pengembangan teknologi, usaha mempelbagaikan sumber dan sebagainya.
Sebuah negara dikira sebagai negara membangun berasaskan kadar piawaian atau kategori tertentu. Kategori diukur berdasarkan Keluaran Negara Kasar per kapita bagi sesebuah negara. Sesebuah negara dikatakan membangun apabila telah melalui pertumbuhan ekonomi dan perubahan struktur ekonomi.
Pertumbuhan ekonomi ialah peningkatan pendapatan (keluaran negara per kapita) manakala perubahan struktur ekonomi ialah perubahan kepentingan sektor kepada perindustrian, peratus penduduk bandar yang tinggi, jangka hayat semasa lahir yang panjang dan kadar buta huruf yang rendah, serta pendedahan kepada arina antarabangsa dan sebagainya.
Unsur-Unsur Pembangunan
Unsur yang terpenting dalam pembangunan ini ialah unsur manusiawi; kendatipun tidak dinafikan bahawa konsep pembangunan Islam itu adalah bersifat komprehensif dan bersepadu. Pembangunan dari perspektif Islam mengoptimumkan faktor kesejahteraan manusia, akhlak ,dan kebendaan, kerohanian dan fizikal, ekonomi dan sosial.
Asas Pembangunan
Pembangunan bertolak dari falsafah dan konsep yang merujuk kepada persoalan asas dalam hidup. Dalam konteks umat Islam asas yang paling fundamental ialah akidah atau iman.
Asas ini menegaskan bahawa manusia sebagai pemegang amanah Allah bertanggungjawab untuk memakmurkan alam dan mengurusnya dengan cara yang paling baik dan saksama.
Allah tidak suka perbuatan merosakkan; alam tempat penghunian manusia dan makhluk Allah yang lain dari generasi ke generasi. Kehadiran manusia di dunia ini adalah untuk penyembahan dan ubudiah diri kepada Allah.
Asas Iman, Islam dan Ihsan melatari segala gerak kerja pembangunan.
Syariat adalah asas pembangunan yang berikutnya. Pengembangan ekonomi mesti merujuk kepada asas-asas yang syar�i dan halal. Segala akad-akad yang fasid serta muamalat yang berunsur gharar dan qimar tidak boleh menjadi amalan dalam membangun ekonomi. Pembangunan mesti menjulang dasar yang adil, tidak menindas, atau melalui kaedah yang zalim dan haram.
Asas berikutnya ialah asas akhlak atau Ihsan. Pembangunan keperihatinan moral adalah prasyarat dalam pembangunan ekonomi Islam. Sebab itu usaha meningkatkan kemakmoran mesti digandingi oleh usaha meningkatkan ibadah, menggilap ruhani dan tendensi kejiwaan yang lohor dan positif.
Hal ini penting untuk mengukuhkan kawalan dalaman serta daya kontrol nafsu dan kemahuan yang rendah. Jika tidak dilakukan maka masyarakat akan dihantui oleh kecenderungan melempiaskan nafsu syahwat dan peningkatan jenayah serta maksiat.
Selain dari itu ilmu, teknologi dan keterampilan adalah asas yang tidak kurang pentingnya dalam menjana pembangunan ekonomi umat Islam. Semakin tinggi pencapaian warga umat Islam dalam bidang ilmu, teknologi dan keterampilan maka semakin meningkat kemajuan pembangunan ekonomi yang dapat dicapai. Ini berkait rapat dengan keupayaan untuk takhassus dalam berbagai bidang pengeluaran.
Pembangunan Seimbang juga merupakan matlamat pembangunan ekonomi Islam. Ia bukan hanya bermakna pembangunan yang harmoni dan seimbang antara wilayah-wilayah dan antara sektor-sektor ekonomi tetapi juga kepada pemulihan kesaksamaan agihan pendapatan dan pemilikan harta.
Seterusnya ialah Peningkatan Kualiti Kehidupan. Pembangunan ekonomi Islam merangkum peningkatan prasarana kebajikan ekonomi rakyat, peningkatan budaya kepenggunaan yang bijak dan seimbang; tidak membazir dan lebih mementingkan kepada memenuhi keperluan secara bersahaja serta mengelakkan amalan hidup bermewah- mewah.
Rakyat sewajarnya merasa semakin selamat, penawaran barangan keperluan yang serba cukup, pengangkutan yang serba mudah, bantuan kewangan dan kebajikan untuk seluruh rakyat, perlindungan pengguna melalui institusi al Hisbah, pembangunan infrastruktur fizikal dan sosial, kestabilan harga khasnya harga barang keperluan asas, kemudahan rawatan dan sebagainya.
Untuk itu kerajaan perlu mengujudkan peluang pekerjaan yang luas kepada rakyat, membangun dan menyediakan jaminan sosial yang berkesan disamping memastikan kesaksamaan agihan pendapatan dan kekayaan. _